Assalamualaikum,
Bertemu kembali kita dalam artikel Tips Mudah Homestay. Kali ini saya akan mengupas tentang dekorasi dalaman sesebuah homestay.
Pertumbuhan homestay di setiap pelusuk negara bagaikan cendawan selepas hujan. Keadaan ini kerana permintaan daripada penginap amat memberangsangkan. Penginap akan menginap di homestay yang menawarkan harga penginapan yang berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. Yang paling murah tetapi selesa, itu yang menjadi pilihan penginap.
Walaubagaimanapun pada musim seperti musim cuti sekolah atau cuti umum, terutamanya di lokasi lokasi panas, homestay memang menjadi pilihan. Malahan di sesetengah tempat, permintaan yang terlampau tinggi menyebabkan penginap terpaksa menginap di mana mana homestay walaupun jaraknya dari lokasi yang diingini. Mereka tidak kisah, asalkan dapat menginap.
Melihat akan keadaan sambutan yang memberangsangkan, maka tidak mustahil impian kita menjadikan bisnes homestay sebagai punca pendapatan utama pasti menjadi kenyataan.
Pengubahsuaian dalaman homestay amat bergantung kepada apa yang penginap inginkan. Saya selalu mengandaikan jika saya sebagai penginap, apa yang saya ingin, apa yang saya perlukan. Itu yang terbaik, nak jawab soalan, maka terbaiknya kita tanya dan kita jawab sendiri.
Mengikut pengalaman saya menginap di beberapa buah homestay. Setiap bilik akan disediakan almari dan juga meja solek. Salah satu sebab mengapa homestay kita menjadi pilihan, ialah bilik yang kita menginap boleh memuatkan sekurang kurangnya 4 orang, ibu ayah dan dua orang anak. JIka bilik dipenuhi dengan perabot yang tidak diperlukan, maka bilik akan menjadi sempit, penggunaan ruang menjadi terhad.
Penyediaan almari atau meja solek, secara terus terangnya, boleh saya katakan kurang diperlukan oleh penginap. Sebab pertama, selalunya almari tidakpun digunakan, maka jika peralatan itu tidak digunakan, mengapa harus diletakkan disitu. Sebagai gantinya, kita boleh menggunakan alat penyidai kain berserta penyakut baju. Molek lagi, jika penyidai tersebut boleh diangkat dan diletak di mana tempat yang kita suka.
Begitu juga dengan meja solek pun kurang diperlukan, sebagai gantinya sediakan cermin dinding dan meja kecil khusus untuk diletak alat solek atau gadget. Faktor utama yang harus dititikberatkan ialah keluasan bilik. Pastikan menggunakan seminima mungkin peralatan. Elakkan daripada memasukkan apa sahaja barangan yang tidak diperlukan.
Sediakan katil kayu yang kukuh yang tidak mudah patah atau rosak, sebaik baiknya katil king atau queen. Katil bertingkat, boleh disediakan tetapi cukup untuk satu atau dua bilik sahaja. Selalunya penginap yang sudah berumur tidak akan menggunakan katil bertingkat.
Di zaman teknologi yang serba canggih, setiap dari kita sekurang kurang memiliki sebuah gadget dan di zaman ini tidak mustahil kanak kanak sudah memiliki gadget sendiri. Maka sebagai pengusaha homestay yang berimpian tinggi, menjadi tanggungjawab kita menyediakan soket elektrik tambahan yang mencukupi. Menjadi satu masalah jika soket yang disediakan terhad, lagi pening jika di ruang tamu hanya menyediakan satu atau dua soket sahaja. Macamnana hendak cas gadget?
Jika tidak dapat menampung voltan yang tinggi, dapatkan khidmat nasihat dari juruelektrik yang bertauliah. Selain itu pemasangan penghawa dingin dan pemanas air mandian, juga tidak harus tidak..memang wajib ada. Salah satu ciri ciri utama pemilihan homestay oleh penginap ialah penghawa dingin. Lebih bagus lagi jika setiap bilik dipasang dengan penghawa dingin, satu lagi bonus jika di ruang tamu juga dipasang dengan penghawa dingin.
Walaubagaimanapun sudah cukup jika setiap bilik dipasang dengan penghawa dingin, tentu penginap lebih selesa dan homestay kita sudah tentu selalu dikunjungi oleh penginap. Apatah lagi dengan sewaan yang kita tetapkan amat berbaloi malah menyamai dengan homestay yang hanya menyediakan satu bilik berhawa dingin. Ini satu lagi bonus untuk kita.
Pengalaman penulis yang pernah menginap di homestay yang tidak dipasang dengan penghawa dingin. Pada asalnya, penulis berhasrat ingin menginap selama dua malam , tetapi terpaksa membatalkan hasrat sebabnya panas tidak ada air cond. Rasa macam ditipu sahaja. Jadilah pengusaha homestay yang terbaik, lakukan sebaik mungkin untuk menjaga nama baik kita. Pastikan kita sendiri puas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Peliknya bunyi, camna kita sendiri yang hendak pastikan?
Anggap sahaja kita sebagai penginap bukan sahaja pengusaha homestay, sudah tentu kita mahu yang terbaik. Penggunaan karpet kurang praktikal kerana mudah berhabuk dan sebagai gantinya kita boleh menggunakan tikar atau tikar buluh.
Cat dalaman yang sesuai ialah warna warna pastel, tidak terlalu terang dan perit mata memandang. Penulis lebih gemar cat hijau cair dan putih, tampak bersih. Langsir yang digunakan juga harus memilih warna warna pastel, elakkan dari mendekorasikan dalaman homestay dengan warna warna terang yang menyakitkan mata. Warna yang berasaskan fenomena alam adalah lebih baik, bukan sahaja cantik tetap segar mata memandang.
Sediakan perlatan memasak yang mencukupi seperti dapur, periuk elektrik, dapur gas, pealatan memasak, sudu, garpu, senduk, kuali dan sebagainya. Penyediaan peralatan ini tidak perlu banyak, hanya sekadar mencukupi. Penginap jarang memasak, selalunya mereka masak maggi ataupun memanaskan makanan, maka tidak perlu kita sediakan peralatan yang banyak.
Sediakan juga sedikit gula, teh ataupun kopi, jika dapat disediakan air minuman secara percuma....itu cukup bagus. Mencari sedikit kelainan, pengusaha homestay boleh menyediakan sabun mandi, sabun basuh dan ubat gigi. Sekurang kurangkan penginap berasa sedikit ringan kerana tidak perlu membawa barang yang banyak. Tuala, telekung dan sejadah boleh disediakan sebagai perkhidmatan tambahan kita. Tentu menarik kan?
Akhir sekali, sekiranya kita ingin berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, kita wajib mempunyai perancangan bertulis yang jelas dan ikutinya saban hari dengan berusaha gigih, kita pasti dapat mengapainya. Kemudian, sekiranya kita teliti secara mendalam dan kembangkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki, kita akan meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya. Kesanggupan kita mengambil risiko dalam usaha mengejar impian dan matlamat yang telah digariskan dengan jelas menjadikan kita sebahagian daripada golongan yang memiliki semangat kental, kita pasti berjaya.
Sekian,
zunianti
freelance blogger
www.homestaysalihin.com
www.juaramasak.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment