Wednesday, February 24, 2016

BERJAYA DENGAN BISNES HOMESTAY

Assalamualaikum...
Menjadi pengusaha homestay tidak selalunya indah sentiasa. Indah jika segala galanya berlaku dengan teratur dan sempurna. Tetapi memeningkan kepala jika tidak terjadi seperti yang diingini.

Walaubagaimanapun segala masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, yang pasti kita sentiasa bersedia terhadap kemungkinan yang berlaku.

Cabaran pengusaha homestay, pertama sekali yang berkaitan dengan bakal penginap, semasa menginap dan setelah selesai menginap. Panggilan daripada penginap buat pertama kalinya, kita pasti akan merasa teramat teruja, hingga kita lupa segala galanya. Kita lupa bertanyakan nama, tempat tinggal penginap dan tujuan menginap. Yang kita ingat hanyalah tarikh check in dan check out.

Sampai masa yang dijanjikan bakal penginap tidak kunjung tiba, sebelum ini kita dah menolak beberapa permintaan dari penginap-penginap lain. Telefon beberapa kali, tidak berangkat. Ishh...memang confirm tidak jadi nih. Untuk mengelakkan kita dari rugi 100%, deposit memang perlu diambil. Sekurang kurangnya kita untung 30%.

Mengapa deposit perlu diambil, pertama sekali tanda confirm booking, ini untuk kepentingan penginap sendiri. Kita tidak mahu ada pertindanan beberapa orang penginap yang berbeza tetapi pada masa yang sama.

Sebab kedua ialah untuk mengurangkan kos kerugian oleh pengusaha homestay, apabila bakal penginap membatalkan penginapan di saat akhir. Ini untuk mengelakkan bakal penginap dengan sewenang wenangnya membatalkan penginapan dan memilih hometay yang lain pula.

Terdapat juga bakal penginap yang sudah bayar deposit dan dah pun sampai di homestay, tiba tiba membatalkan penginapan, kadang kadang alasan yang diberi tidak munasabah anak keciklah, jauhlah, nak homestay yang bangunan solo dan macam macam. Kadang kadang terfikir, di mana logiknya alasan tersebut.

Menurut pengalaman saya, ada bakal penginap yang memberi alasan jauh, hasil dari carian maps google. Sedangkan jalan yang dilaluinya, bukan itu sahaja laluannya. Banyak lagi laluan ke lokasi homestay yang terbukti lebih dekat dan mudah. Macamana hendak mengatasi masalah itu, maknanya sejurus sahaja bakal penginap sampai di daerah berdekatan dan call kita bahawa dia dah sampai dan akan datang ke homestay melalui google maps.

Secepat mungkin beritahu dengan jelas jalan jalan utama yang harus mereka lalui. Jika tidak bakal penginap akan melalui jalan alternatif yang penuh dengan hutan rimba atau jalan berlubang lubang atau menyelusuri sungai. Akhirnya mereka berpendapat homestay kita tidak seperti indah yang digambarkan melalui media sosial. Pasti terpalit perkara perkara negatif.

Terdapat juga bakal penginap yang meminta supaya sewa dikurangkan, ini bergantung kepada budi bicara pengusaha homestay. Bagi saya jika hari biasa bulehlah kurang sedikit, tetapi jika hari cuti sekolah atau cuti umum, apabila permintaan untuk menginap di homestay tinggi, maka pengurangan sewa homestay tidak seharusnya berlaku.

Malah bakal penginap harus tahu, harga yang ditetapkan oleh pengusaha homestay sebenarnya sudah cukup berbaloi terutamanya homestay yang memiliki infrastruktur yang mencukupi dan lengkap, sebab apa....sudah nak dapat homestay yang berbaloi dengan harga dan lengkap. Maka, anda tidak seharusnya lokek berbelanja.

Satu perkara lagi, bakal penginap yang tidak menegaskan bila nak check in atau check out. Sesungguh setiap apa yang kita lakukan ketegasan itu amat penting. Jika tiada ketegasan ,sesuatu keputusan sukar dibuat. Dan untuk makluman bakal penginap, pengusaha homestay orang bisnes dan sebagai orang bisnes masa amat penting. Maka tetapkan masa check in dan check out dengan jelas dan pasti supaya tiada pembaziran masa menunggu di situ.

Untuk mengatasi masalah in, ketegasan perlu ada kepada pengusaha homestay. Apabila ada ketegasan maka ada keputusan yang jelas maka kita tidak akan membazir masa sewenang wenangnya. Masa yang ada boleh digunakan untuk mengurus serta mengemaskini fail fail malah boleh digunakan untuk mempromosikan homestay

Sebagai pengusaha homestay yang punya impian besar, pasti dapat menerima kenyataan ini dengan fikiran terbuka dan positif serta mencari cara mengatasi masalah sejurus berlakunya sesuatu masalah.

Cabaran juga timbul semasa penginap menginap, sebagai contoh pengusaha mesti bersedia jika berlaku sesuatu yang tidak diingini sebagai contoh black out, paip air tercabut, tombol pintu utama rosak atau litar pintas. Pengusaha homestay mesti bersedia dari segi mental dan fizikal, maknanya kita bersedia atas apa kemungkinan yang berlaku, juga bersedia membaikinya pada bila bila masa.

Cabaran ketiga ialah selepas penginap check out. Ada dalam kalangan penginap yang tidak mengedahkan arahan jangan merokok di dalam homestay. Keadaan ini membuatkan pengusaha homestay pening kepala untuk menyahbau asap rokok di dalam homestay. Penat betul, jika kita selaku bakal penginap memang tidak selesa jika ada bau bauan yang  tidak menyenangkan terutamanya di dalam homestay itu sendiri.

Nampak remeh, tetapi itulah kenyataan, segala peralatan seperti toto, selimut, sarung bantal, cadar. sarung kusyen dan langsir semua bau asap rokok. Semuanya mesti basuh dan ditukar, bau asap rokok memakan masa beberapa hari untuk dihilangkan, maka perkara utama yang perlu ditegaskan kepada bakal penginap ialah larangan merokok di dalam homestay, tegaskannya sejurus penginap check in. Tampalkan juga poster larangan merokok di segenap penjuru ruang , jika pengusaha homestay terlupa beritahu.

Pengusaha homestay wajib mengetahui petua petua tradisional atau moden bagaimana cara untuk menghilangkan bau asap rokok. Kepada bekas penginap homestay, ini adalah tanda tanda anda atau keluarga anda akan diterima untuk sekian kalinya. Kami akan lebih berhati hati untuk menerima anda semula.

Sebagai penginap homestay bertangungjawab, sama sama kita mengambil tanggungjawab ini dengan serius, supaya tiada orang yang susah atau sakit hati. Ada juga di kalangan penginap yang sempat lagi membersihkan persekitaran homestay menyapu mencuci malah membakar sampah yang digunakan sebelum check out. Dapat penginap seperti ini, alhamdulillah sangat sangat.kita sebagai pengusaha homestay mengalu alukan kedatangan anda lagi.

Akhir sekali, jadikan bisnes homestay sebagai kerjaya utama kita pengusaha homestay bukan sekadar pendapatan sampingan sahaja. Impikan sesuatu yang mengembirakan yang akan berlaku hasil daripada bisnes ini. Kembangkan bisnes kita secara perlahan lahan dengan cara memberi personal coach, kursus asas pengusaha homestay, freelance blogger tentang homestay, pengurus agensi pelancongan antarabangsa dan sebagainya. Selamat berjaya.

Sekian,
zunianti
freelance blogger
www.juaramasak.com
www.homestaysalihin.blogspot.com

BUAT DUIT DENGAN BISNES HOMESTAY, HANYA SANTAI SANTAI

Assalamualikum....
Kali ini saya akan memperkatakan tentang isu yang tidak kurang pentingnya iaitu Pelan Lantai Homestay yang sesuai serta menepati dengan citarasa penginap Homestay.

Selain dari mengubahsuai rumah menjadi Premis Penginapan Pelancong. Kita boleh juga membina rumah berkonsepkan Homestay. Sebagai contoh...pelan lantai rumah seperti di bawah.

Merujuk kepada pelan lantai di atas, luas keseluruhan rumah tersebut ialah 34'x50' iaitu 1700kp jenis rumah kediaman satu tingkat. Mengapa rumah kediaman satu tingkat menjadi pilihan. Pada pendapat saya dengan keadaan tanah yang terhad dan amat sukar diperolehi terutamanya di lokasi lokasi panas. Maka amat perlu penggunaan tanah dilakukan dengan semaksimanya. Malah jika bajet lebih binalah 3 tingkat atau 4 tingkat.

Tetapi sebagai permulaan, binalah rumah kediaman satu tingkat. Melihat kepada pelan lantai rumah tersebut terdapat 6 bilik tidur dengan 4 daripadanya dibina dengan kemudahan bilik mandi dan tandas di dalamnya. Manakala 2 bilik lagi, dibina tandas di luar bilik.



Ke empat empat bilik tidur tersebut dibina dengan keluasan 15'x10' dan 15'x9'. Mengikut ukuran standard, keluasan bilik tanpa bilik air yang sering dibina ialah 10'x12'. Keluasan bilik 15'x10', dengan bilik air seluas 5'x5', dianggap selesa. Maknanya dengan lebihan keluasan bilik yang ada boleh diletakkan sebuah katil queen pull out, malah ada ruang lagi untuk penginap solat ataupun ruang untuk tidur.

Seringkali homestay yang dibina oleh orang persendirian, tidak memenuhi citarasa dan keselesaan penginap. Bilik yang sempit, malah tiada ruang untuk penginap meletakkan barang, hatta ruang untuk solatpun suntuk. Ini menyebabkan penginap memendekkan penginapan mereka dan sudah tentu penginap akan serik untuk menginap semula. Maka, siapakah yang rugi?

Maka disebabkan keadaan inilah, keselesaan penginap harus diutamakan. Bukan kerna perabot yang mahal atau kerana murah sewanya, tetapi keselesaan penginap. Walau homestay kita tidak memiliki perabot mewah, itu tidak menjadi masalah yang besar. Berdasarkan pengalaman penulis yang pernah menginap di dalam bilik homestay yang sempit dan tidak selesa, pada awalnya kami tempah menginap untuk 3 malam, tetapi kerana tidak selesa, kami terpaksa memendekkan penginapan tersebut kepada 2 malam.

Tetapi ada juga bilik tidur yang luas beserta dengan bilik air yang selesa, tetapi bermasalah kerana tidak dipasang dengan penyaman udara. Walaupun kos memasang air cond sedikit mahal , namun penginap sanggup membayar dengan harga lebih, semata mata ingin menginap dengan selesa. Pengusaha Homestay yang ternyata serius menjadikan bidang ini sebagai salah satu punca pendapatannya, seharus tidak boleh tidak harus ambil peduli akan frasarana tersebut. Jika tidak, pasti tidak ada lagi penghuni berulang. Rugilah....

Keadaan ini memberi pengajaran kepada penulis, bahawa keselesaan bilik amat penting kepada penginap homestay. Lebih senang anggap semua ini terjadi kepada diri kita sendiri, jika kita inginkan keselesaan berpadanan dengan kadar sewanya, maka itu perkara yang harus kita akur dan wujudkan. Di dalam bilik tersebut perlu ada sebuah katil queen, cermin, meja, tempat menyidai kain dan seterika(jika sewa bilik sahaja). Tidak perlu perabot seperti almari atau meja solek yang besar dan berat, jika tidak bilik akan kelihatan sempit dan tidak selesa.

Bilik air pula dengan keluasan 5'x5'. Keluasan ini dikira keluasan yang sesuai, maknanya tidak terlalu sempit dan tidak terlalu luas. Keluasan yang lebih kecil dari itu, tidak berapa digalakkan, sebab apabila bilik air sedikit sempit, masalah akan timbul terutamanya bagi mereka yang memiliki badan yang gempal.

Malah pengusaha Homestay harus ambil cakna terhadap apa jua bau bauan yang kurang menyenangkan yang datang dari bilik air atau tandas. Serikan sedikit tandas atau bilik air anda dengan melengkapkannya dengan bau lemon atau rose. Bau yang menyenangkan memberikan suasana aroma terapi secara tidak langsung, walaupun itu tandas.

Terdapat 2 bilik tidur dengan keluasan 15'x9' dan 14'x10' yang dilengkapi dengan bilik air diluar. Dengan keluasan bilik seluas itu, boleh memuatkan 2 buah katil queen, tempat menyidai kain, meja kecil dan cermin. Kelengkapan yang perlu hanyalah keperluan keperluan asas sahaja. Mengapa tidak disediakan bilik air di dalamnya, kerana penulis ingin menyediakan bilik yang lebih luas yang boleh dihuni lebih ramai penginap. Ketiga tiga bilik tidur boleh memuatkan penginap seramai 10 orang.

Ruang keluarga tidak perlu terlalu luas sekadar 10'x14' atau 11'x15', itu sudah cukup. Penginap lebih banyak menghabiskan masa untuk tidur, dan sudah tentu bilik tidur perlu lengkap dan selesa. Walaubagaimanapun bagi penginap yang lebih dari 10 orang, maka ruang tamu pula akan dijadikan sebagai tempat beradu. Maka, dengan keluasan ruang tamu tersebut, sudah boleh memuatkan bilangan penginap seramai 10 orang. Di dalam ruangan itu, sudah cukup dengan perabot yang tahan lasak seperti kerusi kayu atau rotan, karpet atau tikar, kabinet tv dan tv serta seterika.

Sediakan tikar atau karpet extra untuk keselesaan penghuni dalam jumlah bilangan yang ramai. Selalunya penghuni yang datang di antara 8 hingga 20 orang. Mengapa mereka menjadikan Homestay sebagai pilihan utama, pertama kerana harga penginapan di homestay lebih berpadanan dan murah, jika dibandingkan dengan penginapan di hotel atau apartment. Malah salah satu kelebihan Homestay, di mana penginap tidak perlu berjalan jauh sambil membawa beg yang besar semata-mata hendak menghuni Homestay. Apatah lagi, jika ada penghuni Homestay yang tua ataupun uzur,maka sudah tentu Homestay menjadi pilihan ramai.

Akhir sekali sebagai penutup bicara, sekiranya kita terlibat dengan apa apa pengurusan, merancang dengan teliti setiap tindakan yang diambil, menyusun atur kerja sebelum memulakan tugas, menyelia apa saja tugasan dengan bijak dan sentiasa bersemangat menyiapkan tugasan yang dipertanggungjawabkan, kita pasti akan berjaya dalam kerjaya. Lakukan apa sahaja tugasan kita dengan ikhlas, berikan perkhidmatan sebaik mungkin. Lakukan dari hati. Jumpa lagi

zunianti 
freelance blogger
www.homestaysalihin.blogspot.com
www.juaramasak.com


JADIKAN HOMESTAY ANDA ISTIMEWA WALAU BERADA DICERUK KAMPUNG

Assalamualaikum,
Kita akan kongsi mengenai Lokasi Strategik sesebuah Homestay. Lokasi terletaknya sesebuah homestay itu amat mempengaruhi laku atau tidaknya Homestay kita.

Sebagai pemilik Homestay yang punya impian besar, kita perlu menjangkakan apa yang penginap inginkan. setiap keperluan dan keinginan penginap, perlu kita sendiri yang menjawabnya. Anggap diri kita adalah sebagai sebahagian daripada penginap. Sudah tentu kita akan tahu jawapannya.

Oleh itu, selidik dengan terperinci dahulu kelebihan serta kelemahan lokasi yang kita ingin pilih. Lagi banyak kelebihan, lagi banyak peluang bilangan hari penginap dipenuhi.

Tidak bermakna jika ada rumah yang tidak diduduki, maka daripada kita sayang nak disewakan maka kita ambil keputusan untuk menjadikannya sebuah Premis Penginapan Pelancongan ataupun Homestay. Sebenarnya keputusan itu tidak salah tetapi yang salahnya ialah lokasinya.

Terdapat beberapa faktor lokasi yang strategik pilihan pelancong
1.   Terletak di tengah bandar
2.   Tidak bising
3.   Dekat tempat Bersejarah/IPTA
4.   Dekat dengan pusat membeli belah
5.   Kawasan persekitaran nyaman.
6.   Kawasan sekitar punya banyak kemudahan.
7.   Tempat rekreaksi

Lokasi homestay yang terletak di tengah tengah bandar utama merupakan satu bonus, tetapi jika lokasi homestay itu terletak di tengah antara beberapa buah bandar utama lagi strategik dan menjadi pilihan penginap.

Sebagai contohnya di negeri Kelantan, terdapat sebuah perkampungan yang masih lagi mempunyai ciri ciri kekampungan tetapi kedudukannyan amat strategik iaitu terletak di tengah tengah beberapa bandar utama, iaitu Kampung Pasir Hor.  Kedudukan perkampungan ini amat strategik iaitu 4km dari Kota Bharu, 4km dari bandar Wakaf Che Yeh, 3km dari bandar Kubang Kerian, 2km dari bandar Seribong, 3km dari bandar Tunjong dan 4km dari Bandar Satelit Pasir Tumbuh. Hebat bukan...?

Jadi tidak mustahil lokasi sebegini merupakan impian bagi penginap  untuk menginap. Malah lokasi ini juga nilai hartanahnya melambung tinggi hingga naik 500% dalam jangkamasa 10 tahun. Lebih sesuai jika lokasi Homestay kita itu terletak dalam lingkungan 5km dari bandar utama. Bagaimana pula Homestay yang terletak lebih jauh dari itu, sudah tentu pelancong kurang berminat kecuali Homestay di bandar sudah penuh. Maka pelancong akan memilih Homestay yang jauh sikit dari kawasan bandar.

Bagaimana pula Homestay yang terletak dekat dengan lapangan kapal terbang. Mudahkan turun dari flight terus masuk Homestay. Bagi saya, saya tidak suka pada kebisingan. Faktor yang kedua pelancong sukakan kedamaian. Elakkan dari membangun Homestay di kawasan Lapangan Terbang, di pusat membeli belah, berdekatan pasar, bersebelahan tempat pembuangan sampah atau pencawang elektrik dan di tepi tepi jalan utama yang sibuk.

Bagaimana pula Homestay yang terletak di kawasan pendidikan atau kawasan IPT? Boleh dibina, pasti laris pada musim musim tertentu seperti Hari Pendaftaran Pelajar atau Hari Konvokesyen. Walaubagaimanapun sebagai pengusaha Homestay yang gembira jika Homestaynya sentiasa ada pennginap, maka pemilihan lokasi berdekatan dengan IPTA atau tempat bersejarah atau tempat perkelahan, cukup hanya menjadi sebab yang kedua. Kita terpaksa mengambil risiko, jika suatu hari sudah tiada lagi IPTA atau tempat bersejarah disitu.Walaubagaimanapun lokasi Homestay dekat dengan bandar utama atau dekat pusat membeli belah, tetap menjadi pilihan.

Dan yang  lebih menarik lagi jika lokasi Homestay tersebut berada di tengah tengah bandar utama, dan terletak pula dekat dengan pusat membeli belah.  Mengapa Kampung Pasir Hor, Kota Bharu Kelantan menjadi pilihan sebab keduanya kerana dekat dengan Wakaf Che Yeh, kompleks membeli belah harga mampu milik.

Kompleks Membeli belah Wakaf Che Yeh menghimpunkan beratus ratus ahli perniagaan di bawah satu kawasan. Mereka menjual pelbagai produk dari sekecik kecik batu permata hingga sebesar besar gebar atau karpet. Harga yang di tawarkan amat murah berbanding dengan tempat tempat yang lain. Paling istimewa ialah mereka mula beroperasi selepas jam 8 malam hingga ke awal pagi. Menarik bukan, sebab pelancong memang suka membeli belah dalam persekitaran yang nyaman dan tidak panas. Harga lebih murah jika dibeli secara pukal atau borong.

Pelancong memang suka membeli belah, dan menjadi satu kelebihan jika Homestay anda dekat dengan kompleks seperti ini yang hidup hingga awal pagi. Bandar Wakaf Che Yeh hidup kerana adanya aktiviti perniagaan pada waktu malam yang tidak terdapat pada bandar bandar lain, hatta Kota Bharu sekalipun. Malah tidak mustahil jika penginap homestay anda berulang ulang kali ke sana.

Faktor seterusnya persekitaran desa yang damai dan nyaman. Penginap tidak kisah jika mereka terpaksa menyelusuri jalan kampung yang sedikit sempit, semata mata untuk menghirup udara segar dan jauh dari kebisingan kota.




Sebabnya penginap sukakan kedamaian, sukakan suasana kampung, sukakan udara bersih, sukakan bunyi cengkerik bukan deruman enjin kenderaan yang mereka tidak bisa dapati di bandar. Tidur yang lena dan berkualiti itu amat bermakna dan baik untuk kesihatan. Maknanya masih wujud lagi penginap yang inginkan suasana desa dalam persekitaran kampung sebagi tempat menginap. Menarik bukan...?

Akhir sekali kemudahan yang ada di kawasan persekitaran homestay kita. Maksud saya ialah di kawasan tersebut mempunyai kedai makan, restoran, pam minyak top up, kedai runcit, klinik atau farmasi, tempat cuci kereta, work shop dan sudah tentu bank. Segala kemudahan tersebut nampak remeh tetapi amat penting sebagai pelengkap Homestay kita. Menarik lagi jika kita selaku pengusaha Homestay menyediakan lampiran atau pamphlet kemudahan yang ada di kawasan sekitar Homestay kita.

Kadang kadang penginap ingin bersantai bersama keluarga, maka tempat tempat rekreaksi atau taman tema air menjadi pilihan. Selain aktiviti seperti berjalan jalan, jogging, senaman dan riadah antara yang tersenarai.

Kesimpulannya lokasi terletaknya sesebuah homestay itu adalah sebab utama pemilihan penginapan Homestay. Ditambah lagi dengan kedudukannya di tengah tengah bandar bandar utama, dekat dengan kompleks membeli belah, jauh dari kebisingan, berada dalam persekitaran yang aman dan nyaman serta mempunyai infrastruktur yang mudah dicapai. Ini semua adalah pelengkap homestay anda.

Semoga maklumat ini berguna kepada anda yang bercita cita untuk memiliki Homestay sendiri sekaligus menceburi perniagaan hartanah secara tidak langsung. Jumpa lagi.

zunianti
freelance blogger

CARA NAK UP KAN BISNES HOMESTAY ANDA YANG SUAM SUAM KUKU

Assalamualikum,
Bertemu kita dalam blog tentang adakah anda Pengusaha Homestay yang berkualiti? Seringkali, kita dengar keluhan pengusaha homestay yang homestaynya jarang jarang dikunjungi oleh penginap. Bukan sebab lokasi dan bukan sebab bayaran, mungkin layanan pengusaha homestay.

Pada umumnya ciri ciri positif yang harus ada tidak kira jenis bisnes sekalipun ialah hasrat atau keinginan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada sesiapa terutama kepada customer. Maknanya lakukan sesuatu itu dari hati.

Buat yang terbaik untuk kepuasan customer, bolehkah kita? Ishh... banyak betul ia punya pantang larang. Jika kita melakukan sesuatu pekerjaan itu sambil lewa dan tidak sepenuh hati. Sudah tentu pekerjaan itu dirasakan seolah olah satu bebanan. Menyesal betul bina homestay, tidak sesenang yang disangkakan, mungkin itu rungutan sebahagian dari kita pengusaha homestay.

Pertama sekali sifat prihatin dan cakna, maknanya setiap perkara atau hal yang berkait dengan homestay kita tidak lakukannya sambil lewa, ataupun dengan alasan tak apalah, biarlah, cukuplah. Dengan alasan itu sahaja, sudah cukup untuk membunuh kepercayaan penginap homestay kita. Oh, begitu besar sekalikah pengaruhnya?

Sebagai contoh menyediakan air minuman secukupnya, disebabkan kita malas atau mengambil ringan keperluan tersebut dengan alasan mereka cari sendirilah. Nah, inilah puncanya homestay kita tak laku. Apa salahnya jika hendak bertindak terhadap setiap apa sahaja pembaharuan. Kita ambil pendekatan, jika penginap itu kita..kita. Apa agaknya yang kita mahukan, tentukan yang terbaikkan?

Saya selalu bertanyakan soalan demikian, saya andaikan sayalah penginap homestay, saya ingin ianya disediakan oleh pengusaha homestay. Mudahkan...formulanya. Tanya diri sendiri, tanya diri sendiri dulu. Tahulah jawapannya.

Adakah kita jenis peramah, jika tidak ambillah ikhtiar supaya tukarkan personaliti kita supaya menjadi peramah dengan penginap. Mudah sahaja bersikap peramah semasa kedatangan penginap dan ketika penginap check out. Tanya setiap apa lagi yang diperlukan atau yang perlu ditambah semasa mereka menginap. Sentiasa bersikap positif, bercakap manis dan sentiasa mengambil hati.

Kenapa harus lakukan semua itu, mudah ajer..kitapun suka dilayan mesra oleh sesiapa sahajakan. Dan yang tidak kurang pentingnya ialah anggap sahaja penginap sebagai tetamu, walau mereka bayar ke atas perkhidmatan kita, apa salahnya jika kita menganggap mereka sebagai tetamu dan menyediakan yang terbaik untuk mereka.

Sudah tentu melakukan pekerjaan yang kita suka, kita lakukan dengan ikhlas dengan gembira, lambat laun akan menghasilkan pulangan yang lumayan. Kenapa..? sebab kita tidak akan mudah merasa kecewa, merasa bosan atau tertekan, jika melakukannya secara ikhlas dan kita minat.

Ini adalah salah satu cara kita ingin mendapatkan penginap berulang dan berulang dan berulang. Kebaikan dan layanan yang kita berikan tanpa berbelah bahagi, sudah tentu memberikan kesan yang mendalam di dalam hati penginap. Dan sudah tentu kebaikan kita akan diceritakan dari mulut ke mulut kepada rakan serta saudara di kampung. Ini mempromosikan homestay kita secara tidak langsung, sekaligus mengurangkan kos promosi. Untungkan...bersikap baik?

Selain itu, sanggupkah kita berpenat lelah kerana penginap? Pelik sahaja bunyi, apa yang dipenat lelah tu. Adakah kita sanggup bangun di awal pagi semata mata untuk menguruskan check in atau check out penginap. Adakah kita sanggup menjemput penginap ke homestay kita. Sanggupkah kita berkorban masa semata mata hendak mengemas semula homestay supaya menjadi baik seperti sediakala.

Sanggup kita mencuci, mengelap, mengemop, dan menyusun atur semula perabot. Sanggupkah kita mengawal emosi sendiri apabila ada penginap yang tidak cakna akan kebersihan homestay, merokok. Pening kepala memikirkannya. Bukan calang calang orang yang sanggup bersabar dengan karenah penginap. Sabarkah kita dengan sebarang kerosakan dan penipuan penginap homestay. Agaknya inilah perasaan pengusaha homestay, apabila kita yang pernah menjadi penginap homestay tidak cakna akan kebersihan homestay...arrgh. Sanggupkah kita...?

Jika kita memang berminat dengan perkhidmatan, memang suka melakukan sesuatu itu dengan terbaik, Tidak pernah bosan dengan karenah penginap malah gembira melakukan tugas sebagai seorang 'orang gaji'. Kita memang sesuai menjadi seorang pengusaha homestay.

Jika sanggup syabas diucapkan, maknanya kita semakin dekat dengan kejayaan dan kekayaan, kerna menjadi sebahagian daripada usahawan hartanah. Jika tidak, tanyalah diri sendiri.....jika kita bukan seorang penyabar...apa agaknya bisnes yang tidak memerlukan kesabaran? Bisnes apa ya...

Jika sanggup menghadapi semua di atas itu, bagaimana pula dengan tanpa penginap berbulan bulan lamanya. Sanggupkah kita bersabar...? Tentu sukarkan, tentu kita putus asakan? Tentu kita merasakan semua ini sia sia, tak berguna. Dan awalnya rumah yang kita hendak jadikannya homestay, last last kita jadikannya sebagai rumah sewa pula. Ishh....bagaimana hendak menghadapi semua ini?

Setiap apa yang berlaku sudah tentu ada kemuncaknya, mungkin usaha yang dilakukan tidak mengikut jalan yang betul iaitu jalan ke arah kejayaan. Usaha dan usaha lagi, dan percayalah suatu hari nanti kita pasti berjaya, sebab jalannya hanya satu sahaja, pasti kejayaankan kita ketemu jua.

Sebelum berundur, ingin saya menarik perhatian semua pengusaha homestay atau yang baru bercita cita ingin menyelusuri bisnes ini. Pertama sekali, pahat di dalam minda yang suatu hari nanti, kita bisa menjadi pengusaha homestay yang berjaya. Semat di dalam minda, design homestay bagaimana yang kita inginkan, semat di dalam minda..impikan impikan. Impian itu milik kita. Percayalah jika impian tersebut ada dalam minda kita, maknanya ia disimpan secara tidak langsung di bawah minda bawah sedar.

Saya pernah mengimpikan memiliki homestay, beberapa tahun lalu. Saya sering berimpian akan corak serta design homestay saya dan saya selalu berkhayal..seronoknya jika jadi usahawan homestay. Tetapi itu semua beberapa tahun  yang lalu. Dan sekarang ia menjadi kenyataan, saya sendiri sukar mempercayainya, walaubagaimanapun saya akur sesungguhnya impian memiliki homestay pernah saya wujudkan kehadirannya di dalam minda bawah sedar saya. Alhamdulillah.

zunianti
freelance blogger
www.homestaysalihin.blogspot.com
www.juaramasak.com

 
Copyright © 2014 Blog Zunianti | Designed by FaqihahHusni