Wednesday, February 24, 2016

BUAT DUIT DENGAN BISNES HOMESTAY, HANYA SANTAI SANTAI

Assalamualikum....
Kali ini saya akan memperkatakan tentang isu yang tidak kurang pentingnya iaitu Pelan Lantai Homestay yang sesuai serta menepati dengan citarasa penginap Homestay.

Selain dari mengubahsuai rumah menjadi Premis Penginapan Pelancong. Kita boleh juga membina rumah berkonsepkan Homestay. Sebagai contoh...pelan lantai rumah seperti di bawah.

Merujuk kepada pelan lantai di atas, luas keseluruhan rumah tersebut ialah 34'x50' iaitu 1700kp jenis rumah kediaman satu tingkat. Mengapa rumah kediaman satu tingkat menjadi pilihan. Pada pendapat saya dengan keadaan tanah yang terhad dan amat sukar diperolehi terutamanya di lokasi lokasi panas. Maka amat perlu penggunaan tanah dilakukan dengan semaksimanya. Malah jika bajet lebih binalah 3 tingkat atau 4 tingkat.

Tetapi sebagai permulaan, binalah rumah kediaman satu tingkat. Melihat kepada pelan lantai rumah tersebut terdapat 6 bilik tidur dengan 4 daripadanya dibina dengan kemudahan bilik mandi dan tandas di dalamnya. Manakala 2 bilik lagi, dibina tandas di luar bilik.



Ke empat empat bilik tidur tersebut dibina dengan keluasan 15'x10' dan 15'x9'. Mengikut ukuran standard, keluasan bilik tanpa bilik air yang sering dibina ialah 10'x12'. Keluasan bilik 15'x10', dengan bilik air seluas 5'x5', dianggap selesa. Maknanya dengan lebihan keluasan bilik yang ada boleh diletakkan sebuah katil queen pull out, malah ada ruang lagi untuk penginap solat ataupun ruang untuk tidur.

Seringkali homestay yang dibina oleh orang persendirian, tidak memenuhi citarasa dan keselesaan penginap. Bilik yang sempit, malah tiada ruang untuk penginap meletakkan barang, hatta ruang untuk solatpun suntuk. Ini menyebabkan penginap memendekkan penginapan mereka dan sudah tentu penginap akan serik untuk menginap semula. Maka, siapakah yang rugi?

Maka disebabkan keadaan inilah, keselesaan penginap harus diutamakan. Bukan kerna perabot yang mahal atau kerana murah sewanya, tetapi keselesaan penginap. Walau homestay kita tidak memiliki perabot mewah, itu tidak menjadi masalah yang besar. Berdasarkan pengalaman penulis yang pernah menginap di dalam bilik homestay yang sempit dan tidak selesa, pada awalnya kami tempah menginap untuk 3 malam, tetapi kerana tidak selesa, kami terpaksa memendekkan penginapan tersebut kepada 2 malam.

Tetapi ada juga bilik tidur yang luas beserta dengan bilik air yang selesa, tetapi bermasalah kerana tidak dipasang dengan penyaman udara. Walaupun kos memasang air cond sedikit mahal , namun penginap sanggup membayar dengan harga lebih, semata mata ingin menginap dengan selesa. Pengusaha Homestay yang ternyata serius menjadikan bidang ini sebagai salah satu punca pendapatannya, seharus tidak boleh tidak harus ambil peduli akan frasarana tersebut. Jika tidak, pasti tidak ada lagi penghuni berulang. Rugilah....

Keadaan ini memberi pengajaran kepada penulis, bahawa keselesaan bilik amat penting kepada penginap homestay. Lebih senang anggap semua ini terjadi kepada diri kita sendiri, jika kita inginkan keselesaan berpadanan dengan kadar sewanya, maka itu perkara yang harus kita akur dan wujudkan. Di dalam bilik tersebut perlu ada sebuah katil queen, cermin, meja, tempat menyidai kain dan seterika(jika sewa bilik sahaja). Tidak perlu perabot seperti almari atau meja solek yang besar dan berat, jika tidak bilik akan kelihatan sempit dan tidak selesa.

Bilik air pula dengan keluasan 5'x5'. Keluasan ini dikira keluasan yang sesuai, maknanya tidak terlalu sempit dan tidak terlalu luas. Keluasan yang lebih kecil dari itu, tidak berapa digalakkan, sebab apabila bilik air sedikit sempit, masalah akan timbul terutamanya bagi mereka yang memiliki badan yang gempal.

Malah pengusaha Homestay harus ambil cakna terhadap apa jua bau bauan yang kurang menyenangkan yang datang dari bilik air atau tandas. Serikan sedikit tandas atau bilik air anda dengan melengkapkannya dengan bau lemon atau rose. Bau yang menyenangkan memberikan suasana aroma terapi secara tidak langsung, walaupun itu tandas.

Terdapat 2 bilik tidur dengan keluasan 15'x9' dan 14'x10' yang dilengkapi dengan bilik air diluar. Dengan keluasan bilik seluas itu, boleh memuatkan 2 buah katil queen, tempat menyidai kain, meja kecil dan cermin. Kelengkapan yang perlu hanyalah keperluan keperluan asas sahaja. Mengapa tidak disediakan bilik air di dalamnya, kerana penulis ingin menyediakan bilik yang lebih luas yang boleh dihuni lebih ramai penginap. Ketiga tiga bilik tidur boleh memuatkan penginap seramai 10 orang.

Ruang keluarga tidak perlu terlalu luas sekadar 10'x14' atau 11'x15', itu sudah cukup. Penginap lebih banyak menghabiskan masa untuk tidur, dan sudah tentu bilik tidur perlu lengkap dan selesa. Walaubagaimanapun bagi penginap yang lebih dari 10 orang, maka ruang tamu pula akan dijadikan sebagai tempat beradu. Maka, dengan keluasan ruang tamu tersebut, sudah boleh memuatkan bilangan penginap seramai 10 orang. Di dalam ruangan itu, sudah cukup dengan perabot yang tahan lasak seperti kerusi kayu atau rotan, karpet atau tikar, kabinet tv dan tv serta seterika.

Sediakan tikar atau karpet extra untuk keselesaan penghuni dalam jumlah bilangan yang ramai. Selalunya penghuni yang datang di antara 8 hingga 20 orang. Mengapa mereka menjadikan Homestay sebagai pilihan utama, pertama kerana harga penginapan di homestay lebih berpadanan dan murah, jika dibandingkan dengan penginapan di hotel atau apartment. Malah salah satu kelebihan Homestay, di mana penginap tidak perlu berjalan jauh sambil membawa beg yang besar semata-mata hendak menghuni Homestay. Apatah lagi, jika ada penghuni Homestay yang tua ataupun uzur,maka sudah tentu Homestay menjadi pilihan ramai.

Akhir sekali sebagai penutup bicara, sekiranya kita terlibat dengan apa apa pengurusan, merancang dengan teliti setiap tindakan yang diambil, menyusun atur kerja sebelum memulakan tugas, menyelia apa saja tugasan dengan bijak dan sentiasa bersemangat menyiapkan tugasan yang dipertanggungjawabkan, kita pasti akan berjaya dalam kerjaya. Lakukan apa sahaja tugasan kita dengan ikhlas, berikan perkhidmatan sebaik mungkin. Lakukan dari hati. Jumpa lagi

zunianti 
freelance blogger
www.homestaysalihin.blogspot.com
www.juaramasak.com


No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2014 Blog Zunianti | Designed by FaqihahHusni