Sunday, March 20, 2016

ANDA PENGINAP HOMESTAY? JOM IKUTI PANDUAN SELAMAT INI.

Assalamualikum, bersua kembali kita dalam Tips Mudah Homestay. Bisnes penginapan homestay bukanlah suatu bisnes yang baru diperkatakan. Bisnes ini mula tumbuh seperti cendawan selepas hujan semenjak beberapa tahun terakhir ini, ekoran dari permintaan yang tinggi dalam kalangan bakal penginap.

Selain dari harganya yang berpatutan, keadaan dalaman rumah yang selesa juga menjadi sebab mengapa ramai kalangan kita yang memilih homestay untuk dijadikan pilihan utama untuk menginap.

Sebagai pengusaha homestay yang punya impian besar, adalah lebih maklum jika pengusaha homestay mempunyai pengetahuan tentang ciri ciri homestay yang menjadi idaman ramai. Selalunya penginap homestay dalam jumlah kuantiti yang ramai, dan jika kita memiliki kediaman yang besar itu merupakan satu bonus istimewa.

Terdapat beberapa sebab mereka menginap seperti untuk melancong, membeli belah, menghadiri majlis perkahwinan, menghadiri kursus, mesyuarat atau sesuatu program, mengikuti sesi temujanji untuk rawatan hospital dan pelbagai lagi tujuan. Yang pasti bilangan penginap yang paling sedikit ialah 3 orang dan yang paling ramai ialah 20 orang.

Kebanyakan penginap sanggup tinggal bersama sama sehingga menjangkau 20 orang dengan tujuan untuk menjimatkan perbelanjaan. Sebagai pengusaha homestay penerimaan penginap ramainya bilangan mereka amat bergantung kepada bilangan bilik air, bilangan bilik tidur dan berapa luas ruang tamu kita. Maka tetapkan maksima bilangan penginap supaya tidak berlaku sebarang kekecohan ataupun sebarang kerosakan di dalam homestay kerana bilangan penginap yang melebihi had.

Rumah yang menjadi pilihan penginap selalunya banglo sebuah ataupun semi D, di mana ruang parkirnya luas dan lebih selesa.

Penginap yang berkira lebih suka tawar menawar harga, itu sudah menjadi lumrah dalam berbisnes. Bagi saya adalah tidak salah untuk memberi potongan istimewa kepada penginap kerana motto "kita tidak seharusnya terlalu berkira" menjadi pegangan saya. Adalah lebih baik adanya penginap dari membiarkan rumah tidak berpenghuni. Lagipun terlalu banyak sangat persaingan, jika kita terlalu berkira dengan penginap.

Maka, untuk mengelakkan tawar menawar ini mengusar dan memeningkan kepala kita, maka harga penginapan yang diletakkan mestilah tidak terlalu tinggi atau terlalu murah. Maknanya sedang sedang sahaja, apabila berlakunya tawar menawar kita sebagai pengusaha homestay tidaklah terlalu sedikit untungnya.

Penginap tidak akan mempedulikan apa sahaja kos penyelenggaran, kos air dan elektrik yang terpaksa kita bayar, jika kita cuba untuk menolak atau tidak mempedulikan tawaran mereka. Walaubagaimanapun janganlah terlalu memikirkan akan hal ini, stress pulak kita. Lagipun bukannya luak mana manapun, dengan penyewaan tersebut masih terlebih mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan.

Penginap lebih suka menginap dengan penginapan yang berhampiran dengan tempat tuju mereka, selalunya yang menjadi pilihan ialah di dalam bandar ataupun di pinggir bandar. Jika ada majlis kenduri yang terpaksa mereka hadir, mereka lebih memilih untuk menginap di dalam kawasan bandar atau di pinggir bandar, bukannnya berhampiran tempat kenduri tersebut. Kerana jika tinggal di kawasan bandar amat mudah untuk mereka mempelbagaikan aktiviti mereka.

Apa sahaja maklumat tentang homestay kita, perlu di updatekan sentiasa terutamanya jika telah dibuat pengubahsuaian, supaya maklumat yang disampaikan kepada penginap adalah yang terkini dan tidak berlaku percanggahan maklumat hingga menyebabkan ketidakpuasan hati semua pihak.

Adalah lebih mudah jika kita menggunakan perkhidmatan "Google Maps" atau GPS untuk membantu penginap terus ke lokasi homestay. Kemudahan teknologi canggih mestilah digunakan tujuannya untuk menyenangkan semua pihak.

Prinsip Penciptaan Nilai adalah kunci utama bagi mencapai kejayaan dalam kewangan kita. Prinsip ini menyatakan, segala kekayaan terhasil daripada peningkatan nilai sesuatu dengan cara tertentu. Semakin bernilai kerja kita, semakin bernilai diri kita. Kebolehan kita memperolehi kunci pengetahuan, idea, padangan dan kemahiran yang diperlukan, kemudian mengaplikasi kemahiran itu mengikut perancangan masa bagi menambah baik kehidupan orang lain, adalah penentu paling utama nilai ganjaran yang dapat kita nikmati.

Akhir kata, letakkan impian untuk menjadikan bisnes homestay sebagai punca pendapatan utama bukannya hanyalah secara sampingan sahaja.

zunianti 
freelance blogger
www.juaramasak.com
www.homestaysalihin.blogspot.com

Friday, March 18, 2016

JOM BUAT DUIT MELALUI BISNES HOMESTAY, ANDA MAMPU LAKUKAN

Assalamualikum bertemu lagi kita dalam Tips Mudah Homestay. Menjadi seorang usahawan homestay bukanlah sesukar yang digambarkan, apa yang penting minat itu mesti ada.

Sebelum membina atau mengubahsuai rumah untuk dijadikan homestay, pertama sekali pasakkan di dalam minda bawah sedar kita, betapa seronoknya menjadi pengusaha homestay yang memiliki beberapa banyak homestay.

Sesungguhnya apa yang disematkan ke dalam pemikiran bawah sedar, insya Allah lambat laun akan menjadi kenyataan juga. Begitu juga dengan diri saya, keinginan untuk memiliki homestay sebagai punca pendapatan telah saya fikirkan dua tahun yang lalu. Sejurus berada di homestay orang lain, dengan pantas saya terus sahaja memikirkan betapa indahnya jika menjadi seorang pengusaha homestay.

Menjadi seorang pengusaha homestay yang punya impian yang tinggi amat perlu menitikberatkan konsep yang ingin diterapkan dalam menghiasi dalaman homestay. Terdapat pelbagai konsep yang boleh diterapkan seperti konsep Inggeris, Zen, Minimalis, Moden,Klasik dan Kampung.

Disebabkan lokasi homestay saya terletak di dalam kampung, saya lebih suka mengaplikasikan konsep kekampungan. Lagipun pengetahuan saya dalam menghias dalaman sesebuah kediaman, bukanlah kemahiran saya.
Apa yang pasti, penginap mesti merasai suasana damai, tenang dan nyamana serta sedap mata memandang. Ramai di kalangan penginap yang lebih suka suasana kekampungan menghirup udara segar berbanding dengan suasana bandar yang sibuk dan tegang.

Walaubagaimanapun ada juga penginap yang lebih suka menginap dalam bandar yang bersuasana sibuk, katanya kampung jauh dan tidak sesuai. Biasalah jika penginap membuat pembatalan pada saat saat akhir sejurus sampai di pintu pagar. Tetapi agak malang sebab mereka tak masuk melihat keadaan di dalam homestay kami, jika sudah lihat pasti mereka terus sahaja hendak menginap.

Anggap sahaja keadaan seperti itu sebagai asam garam dalam bisnes ini. Di bawah ini dinyatakan kos permulaan yang diperlukan untuk membina homestay yang memiliki 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Alatan                                                       Kuantiti                                     RM
Katil King                                                       1
Katil Queen                                                     3
Katil Single Pullout                                        2
Rak baju                                                          3
Kerusi set                                                        1
Kerusi makan                                                  1
Almari dapur                                                   1
Peti sejuk, mesin basuh, dapur                        1
Meja solek kecil                                              3
Cermin                                                             3
Air cond                                                           3
Karpet/tikar                                                      2
Tv                                                                     2
Pemanas air &Kelengkapan mandian              2
Kelengkapan memasak                                    1                                                     
                                                                                                     RM15,000

Secara kasarnya kos permulaan yang diperlukan secara asasnya ialah RM15 ribu. Walaubagaimanapun jangan bimbang pulangan tersebut akan kita perolehi semula dalam jangkamasa habis lama 2 tahun.

Mengendalikan bisnes homestay bukanlah semudah yang disangkakan dan bukanlah sesukar yang digambarkan, yang penting anda minat melakukan yang terbaik. Pengurusan sejurus penginap keluar yang pada awalnya mengambil masa 2 jam, sekarang saya hanya mengambil masa 1 jam untuk mengemasnya. Maknanya dari sehari kesehari, kita akan memperolehi pelbagai ilmu dan pengalaman. Setiap pengalaman itu, akan memberikan kita kemahiran dan ilmu untuk bertindak. Wajarnya jika kita memang suka mengemas dan mampu menghasilkan yang terbaik, apa salahnya jika kita ambil serius menceburi bisnes ini dengan lebih serius lagi. Akhir kata, selamat berjaya.

zunianti
freelance blogger
www.juaramasak.com
www.homestaysalihin.blogspot.com



Monday, March 14, 2016

ANDA SUKA MENGEMAS? ITULAH CIRI CIRI PENGUSAHA HOMESTAY BERJAYA

Assalamualikum, kali ini kita akan membicarakan tentang Pengurusan Masa Pengusaha Homestay.

Mengurus sesebuah homestay kadangkala amat memenatkan terutamanya jika pengusaha homestay memiliki lebih dari sebuah homestay. Walaubagaimanapun mengambil pekerja untuk membantu dalam menguruskan sesebuah homestay bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Malah boleh disyorkan, jika kita mahu homestay yang sentiasa terurus.

Bagi pengusaha homestay yang mahu melakukan tugas pengurusan homestay secara sendirian. Terdapat beberapa perkara yang harus dititikberatkan. Pertama ialah perlu merancang tugas mengikut harian, mingguan dan bulanan.

Pengurusan homestay bermula sebaik sahaja pengusaha homestay menerima tempahan menerima penginapan. Tugas menerima panggilan tempahan, menguruskan proses tempahan sehinggalah penerimaa deposit perlu dilakukan dengan sistematik. Lantiklah seseorang yang berkelayakan, jika pengusaha homestay sukar melakukannya. Tetapi lebih baik jika pengurus homestay melakukannya sendiri.

Untuk mengelakkan penempahan bertindih pengusaha homestay perlu menyediakan borang menerima tempahan, kalendar tempahan dan jadual menerima penempahan. ini bertujuan agar tidak berlaku pertindihan.

Adalah lebih baik, jika pengusaha homestay menerima deposit daripada bakal penginap. Ianya bertujuan untuk mengesahkan lagi yang bakal penginap akan menginap di homestay. Ada dalam kalangan penginap yang membatalkan tempahan penginapan pada saat saat akhir. Ini amat merugikan pengusaha homestay, ini membayangkan ketidak bertanggungjawaban penginap.

Walaubagaimanapun, sebagai pengusaha homestay yang punya impian, perkara yang remeh temeh ini adalah perkara biasa, tumpukan kepada bagaimana cara untuk meminimunkan masalah tersebut, sekurang kurangnya kita 'win win situation'.

Selepas tugas awal pengurusan homestay, tugas menunggu, memberi arah jalan dan menyambut bakal penginap, juga tidak harus dipandang ringan. Terdapat pelbagai jenis bakal penginap, ada di kalangan penginap yang boleh datang sendiri ke homestay dengan cara menggunakan 'maps google', ada juga penginap yang menggunakan 'maps google', tetapi merungut tidak puas hati kerana jalan yang dilaluinya jauh, bengkang bengkok dan sempit, padahal ada lagi jalan lain yang lebih dekat dan pantas.

Terdapat juga bakal penginap yang telah menggunakan 'maps google', tetapi tidak jumpapun homestay, malah lebih mempercayai orang lain daripada petunjuk yang diberikan oleh pengusaha homestay. Ada juga bakal penginap yang perlu kita jemput kerana mereka telah tersesat. Walau apapun sebabnya, berikan perkhidmatan yang terbaik dengan cara kita menganggap penghuni homestay adalah tetamu istimewa kita dan punca pendapatan kita akan akan berganda ganda.

Semasa menginap, pelbagai kemungkinan bisa berlaku seperti kerosakan pada lampu, suis, plug, tombol pintu atau tiada air atau bekalan elektrik. Waktu itu sudah menjadi tugas pengusaha homestay mencari jalan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Adalah lebih baik, jika pengusaha homestay mempunyai kenalan yang memiliki kemahiran dalam bidang yang diperlukan.

Selain itu, kemungkinan yang jarang jarang berlaku seperti masalah kecemasan seperti kecederaan, sakit dan bencana, pengusaha homestay harus bersiap sedia dan sanggup membantu penginap pada saat saat kecemasan tersebut dengan menganggap mereka seperti saudara mereka sendiri. Adalah amat malang sekali jika pengusaha homestay menganggap penginap seperti orang asing dan  tidak mempedulikan mereka semasa kecemasan.

Terdapat juga penginap yang ke sesuatu lokasi kemudiannya tersesat dan tidak dapat mencari jalan balik semula ke homestay, malah ada juga penginap yang memerlukan perkhidmatan pengusaha homestay sebagai penunjuk jalan ke destinasi yang mereka ingin lawati. Salah satu sifat yang perlu ada dalam diri pengusaha homestay ialah sanggup membantu dalam apa jua keadaan. Maka, jika anda memiliki sifat tersebut, sudah tentu anda akan disukai oleh penginap homestay, dan tidak diragui lagi homestay anda akan sentiasa dikunjungi tetamu.

Ketika penginap sudah keluar, menjadi tugas pengusaha atau pembantunya mengemaskini semula keadaan homestay seperti sediakala. Kerna kita tidak tahu mungkin sejurus waktu itu, homestay kita akan ditempah dengan kadar segera oleh bakal penginap. Oleh itu, adalah wajib menyediakan kembali homestay yang tersusun dengan kadar segera. Masa yang perlu digunakan untuk mengemas semula homestay adalah di antara 2 hingga 3 jam. Cadar, sarung bantal dan selimut perlu ditukar setiap kali bakal penginap keluar. Ini bertujuan supaya memberi tanggapan positif di dalam kalangan penginap.

Apa yang kita yakini mampu menjadi kenyataan, ia dinamakan 'Law of Mind' atau Peraturan Minda. Sesiapa yang tidak berubah dengan arus peredaran zaman yang semakin pantas, bergerak balas apabila saingan meningkat, atau mengambil kesempatan atas peluang yang terbuka luas, dia kan kehilangan pekerjaan dalam tempoh dua tahun. Mereka yang mengambil tindakan kerana yakin akan mendapat pulangan yang baik atas usaha yang dilakukan. Maka, yakinlah bisnes homestay yang kita usahakan akan berkembang serta akan menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.

Sekian
zunianti
freelance blogger
www.homestaysalihin.blogspot.com
www.juaramasak.com







Sunday, March 6, 2016

HOMESTAY YANG MEMILIKI CIRI CIRI UNIK, ITU YANG AKAN BERJAYA

Assalamualaikum, bertemu lagi kita dalam Tips Mudah Homestay. Kali ini, ingin sekali saya kupas tentang penyelenggaraan sesebuah homestay. Pada awalnya menyediakan kelengkapan sesebuah homestay tidaklah begitu mencabar berbanding dengan penyelenggaraannya.

Menyelenggarakan sesebuah homestay memang menuntut kesabaran terutamanya kepada pengusaha homestay. Walaubagaimanapun, penat lelah itu pasti berbaloi dengan hasil pendapatan yang lumayan yang diperolehi setiap bulan, malahan makin lumayan terutamanya di waktu cuti umum, cuti perayaan ataupun di kala musim cuti sekolah.

Sebagai pengusaha homestay yang berimpian membesarkan lagi bisnes berkenaan, mempunyai ilmu berkenaan cara cara menyelenggara sesebuat homestay tidak seharusnya dipandang ringan atau enteng.



Pokok pangkalnya lakukan yang terbaik untuk keselesaan bakal penginap, maka segala penat lelah dan letih pasti tidak akan dirasai, jika kita lakukan sesuatu pekerjaan itu dengan penuh kesungguhan dan kegembiraan. Ada juga orang suka mengemas dan suka melihat sesuatu itu kelihatan stabil dan teratur? Itulah kegemaran saya, saya memang suka mengemas, suka melihat sesuatu itu dalam keadaan teratur dan sedap mata memandang.

Pertama perlu menyelenggara setiap kali bekas penginap keluar dari homestay. Terdapat beberapa perkara yang harus diselenggarakan seperti menukar cadar, sarung bantal, selimut, tuala dan pelapik kaki setiap kali penginap keluar. Kena tukar setiap kali penginap keluar? Ya wajib, sebabnya saya memang tidak gemar bau bauan yang kurang menyenangkan terutamanya tubuh badan manusia, hidung saya amat sensitif. Dan saya anggap semua penginap mempunyai hidung seperti saya. Malahan totopun perlu dibasuh terutamanya jika bekas penginap kita menghisap rokok.

Saya juga merasa amat bersalah jika tidak memberi perkhidmatan yang terbaik untuk keselesaan penginap, rasa berdosa pula. Kedua ialah mencuci bilik mandi, dapur, meja makan, dan membuang segala kekotoran yang ada termasuklah sampah di dalam tong sampah. Wajib dilakukan, sebabnya inilah punca datangnya bau bauan yang tidak menyenangkan.

Sediakan tong sampah di dapur yang lebih besar atau sediakan dua buah, kerana ada dikalangan penginap yang banyak menghabiskan masa di dalam homestay, maka banyaklah sampah yang mereka buang. Maka untuk mengelakkan sampah melimpah keluar,maka sediakanlah dua buah tong sampah. Selain itu, sediakan juga tong sampah sederhana besar di dalam tandas, bilik tidur dan juga di luar tempat parking kereta.

Periksa setiap peralatan elektrik, terdapat di kalangan penginap yang terlupa menutup suiz elektrik yang digunakan, maka pastikan setiap suiz ditutup semuanya. Pastikan juga gas ditutup untuk keselamatan.

Sampah yang ada perlu dibuang, bersihkan segala kekotoran dengan menyapu, mengemop atau menggunakan penyedut hampagas. Kabinet dapur, meja makan, sinki dan dapur perlu dilap. Gelas, pinggan, jug dan segala peralatan dapur hemdaklah disimpan di dalam kabinet dan dilap untuk mengelakkannya daripada berhabuk.

Sediakan juga alas kaki yang kering, pewangi disetiap ruang dan saya lebih suka pewangi ambi pure lemon lebih tahan baunya untuk mengelakkan bau bauan yang tidak menyenangkan. Petua orang tua lama, kita boleh menggunakan daun pandan dan diletakkan di mana mana sudut, tujuannya adalah untuk menyerap segala bau bauan yang kurang menyenangkan seperti bau hapak atau bau asap rokok.

Pengusaha homestay juga perlu bersedia dari segi mental dan tenaga, apabila diperiksa didapati berlakunya kerosakan seperti paip air pecah, seterika rosak, remote rosak atau hilang, malah ada yag lebih dashyat lagi pintu rosak akibat ditendang oleh penginap. Ke semua kerosakan itu perlu dibaiki dengan segera, sebab kemungkinan besar, homestay kita akan dihuni oleh penginap lain pada bila bila masa dan bila bila sahaja. Maka bersedialah, kita takkan mengecewakan harapan bakal penginap, mengecewakan penginap bermakna mengurangkan duit poket kita.

Sediakan habis kurang sebanyak tiga set cadar, tuala dan selimut, kerana mudah untuk ditukar ganti dan macam macam boleh berlaku jika cadar yang dibasuh tidak kering dan lembab, bermaknanya kita masih mempunyai satu set lagi cadar. Sediakan juga sarung kusyen satu set lagi, kadangkala kita terpaksa menukar yang sedia ada terutamanya timbul bauan yang kurang menyenangkan darinya.

Akhir sekali, sekiranya kita ingin berjaya dalam apa jua bidang, kita perlu mempunyai perancangan bertulis yang jelas dan perlu kita ikuti saban hari dengan berusaha dengan gigih, pasti kita akan mencapainya. Kemudian, sekiranya kita teliti secara mendalam dan kembangkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki, kita akan meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya. Selamat Berjaya.

zunianti
freelance blogger
www.juaramasak.com
www.salihinhomestay.blogspot.com


TIPS HEBAT MENJADI USAHAWAN BISNES HOMESTAY BERJAYA

Assalamualikum...
Homestay dalam Bahasa Melayu juga dikenali sebagai inap desa ataupun rumah tamu. Homestay dikaitkan dengan rumah yang disediakan oleh pengusaha homestay kepada penginap yang dilengkapi dengan kemudahan asas khusus untuk penyewa homestay.

Di Malaysia terdapat dua jenis homestay iaitu Homestay Pelancongan dan Homestay Persendirian. Pada awal penubuhan homestay, ianya sebenarnya tidak dirancang. Cuma ianya telah wujud di dalam minda saya bertahun tahun lamanya, apabila melalui sesebuah homestay idaman, saya selalu mengimpikan dan memasang niat, alangkah bagusnya jika memiliki homestay seperti ini sebagai punca pendapatan utama.

Apa yang kita pasakkan ke dalam minda bawah sedar, Insyaallah suatu hari nanti ianya akan menjadi kenyataan. Kerana dengan secara tidak sedar minda sedar kita telah memaksa minda bawah sedar mengimpikannya. Dengan ini kita dengan serta merta mengaktifkan minda super sedar supaya memikirkan jalan untuk merealisasikan impian tersebut melaui cetusan idea, pembacaan dan melalui ilham.

Homestay bagaimana yang menjadi idaman kita? Homestay Pelancongan disokong penuh oleh kerajaan. Sasaran utamanya ialah pelancong dari luar negara. Tujuan utama diwujudkan homestay sebeni ialah untuk memberikan maklumat terperinci mengenai gaya hidup masyarakat setempat. Jika di Kota Bharu homestay sebegini terdapat di Kampung Seterpa Kota Bharu.

Ciri ciri yang perlu ada di dalam homestay pelancongan ialah berorientasikan konsep desa, iaitu ada dipamerkan barang barang purba masyarakat Melayu, Kesenian Melayu, peralatan yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Sebagai pengusaha homestay yang budiman, mereka bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan makan minum pelancong dan menyediakan program kepada para pelancong.

Penduduk berdekatan dengan konsep penginapan ini akan bekerjasama dalam menjayakan aktiviti pelancongan ini. Antara kegiatan pengalaman melancong yang dilakukan adalah seperti menuai padi, menangkap ikan, bermain permainan tradisional seperti congkak dan wau.

Konsep homestay seperti ini amat sesuai kepada masyarakat kampung yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, iaitu mereka tidak terikat dengan tugas tugas hakiki yang lain.

Saya lebih mengemari Homestay Persendirian, yang sekarang ini tumbuh bagaikan cendawan. Inipun belum tentu lagi boleh menampung permintaan penginap yang tinggi terutamanya pada musim cuti sekolah ataupun cuti perayaan. Maka, bagi saya bisnes homestay bukannya calang calang perniagaan, jika kita fokus dan serius, sudah tentu ia bisa menjana pendapatan yang lumayan diluar dari jangkauan kita.

Homestay Persendirian adalah penginapan yang diuruskan oleh orang persendirian. Ia dijalankan berdasarkan pengalaman dan risikonya ditanggung sendiri. Pada asalnya penginap gemar menginap di hotel ataupun motel motel. Walaubagaimanapun di akhir akhir ini, penginap yang membawa bilangan keluarga yang ramai sudah tentu memerlukan tempat penginapan yang  lebih luas, selesa serta murah. Maka pilihan sekarang ialah homestay. Maka lihatlah sekarang homestay persendirian tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.



Penginap kebanyakkan penduduk di dalam negeri, mereka menginap berdasarkan aktiviti dan program yang ditentukan oleh mereka sendiri. Pengusaha homestay hanya menyediakan kelengkapan homestay yang sederhana serta harga sewaan yang sesuai dengan kelengkapan yang diberikan.

Jenis jenis rumah yang boleh dijadikan homestay seperti banglow, semi D, teres, flat, kondominium dan apartment. Walaubagaimanapun konsep homestay rumah banglow atau semi D menjadi pilihan sebab utamanya ialah ruang parking yang luas dan selamat. Selain itu sedikit privasi, jauh dari kebisingan dan istimewanya ialah mudah iaitu tak perlu angkat beg berat berat masuk ke homestay. Jika kondominium atau apartment, penginap berfikir dua kali, nak ke tak nak nih...kecuali tiada pilihan.

Akhir sekali, kunci kejayaan setiap bidang yang kita ceburi ialah tingkatkan ilmu pengetahuan dengan membaca. Menurut kajian, seorang rakyat Amerika berpendapatan paling tinggi membaca secara purata selama dua hingga tiga jam sehari, manakala golongan berpendapatan rendah langsung tidak membaca. Berimpian menjadi pengusaha homestay yang cemerlang dan kaya, tingkatkan ilmu dengan membaca apa sahaja ilmu yang berkaitan dengan bisnes homestay, bidang hartanah, psikologi manusia dan juga ilmu mempromosi jualan, Insyaallah kita bisa menjadi apa yang kita impikan.

Sekian
zunianti
freelance blogger
www.juaramasak.com
www.homestaysalihin.blogspot.com


LARISKAN HOMESTAY ANDA DENGAN UBAH DEKORASINYA

Assalamualaikum,
Bertemu kembali kita dalam artikel Tips Mudah Homestay. Kali ini saya akan mengupas tentang dekorasi dalaman sesebuah homestay.

Pertumbuhan homestay di setiap pelusuk negara bagaikan cendawan selepas hujan. Keadaan ini kerana permintaan daripada penginap amat memberangsangkan. Penginap akan menginap di homestay yang menawarkan harga penginapan yang berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. Yang paling murah tetapi selesa, itu yang menjadi pilihan penginap.

Walaubagaimanapun pada musim seperti musim cuti sekolah atau cuti umum, terutamanya di lokasi lokasi panas, homestay memang menjadi pilihan. Malahan di sesetengah tempat, permintaan yang terlampau tinggi menyebabkan penginap terpaksa menginap di mana mana homestay walaupun jaraknya dari lokasi yang diingini. Mereka tidak kisah, asalkan dapat menginap.

Melihat akan keadaan sambutan yang memberangsangkan, maka tidak mustahil impian kita menjadikan bisnes homestay sebagai punca pendapatan utama pasti menjadi kenyataan.

Pengubahsuaian dalaman homestay amat bergantung kepada apa yang penginap inginkan. Saya selalu mengandaikan jika saya sebagai penginap, apa yang saya ingin, apa yang saya perlukan. Itu yang terbaik, nak jawab soalan, maka terbaiknya kita tanya dan kita jawab sendiri.

Mengikut pengalaman saya menginap di beberapa buah homestay. Setiap bilik akan disediakan almari dan juga meja solek. Salah satu sebab mengapa homestay kita menjadi pilihan, ialah bilik yang kita menginap boleh memuatkan sekurang kurangnya 4 orang, ibu ayah dan dua orang anak. JIka bilik dipenuhi dengan perabot  yang tidak diperlukan, maka bilik akan menjadi sempit, penggunaan ruang menjadi terhad.

Penyediaan almari atau meja solek, secara terus terangnya, boleh saya katakan kurang diperlukan oleh penginap. Sebab pertama, selalunya almari tidakpun digunakan, maka jika peralatan itu tidak digunakan, mengapa harus diletakkan disitu. Sebagai gantinya, kita boleh menggunakan alat penyidai kain berserta penyakut baju. Molek lagi, jika penyidai tersebut boleh diangkat dan diletak di mana tempat yang kita suka.

Begitu juga dengan meja solek pun kurang diperlukan, sebagai gantinya sediakan cermin dinding dan meja kecil khusus untuk diletak alat solek atau gadget. Faktor utama yang harus dititikberatkan ialah keluasan bilik. Pastikan menggunakan seminima mungkin peralatan. Elakkan daripada memasukkan apa sahaja barangan yang tidak diperlukan.

Sediakan katil kayu yang kukuh yang tidak mudah patah atau rosak, sebaik baiknya katil king atau queen. Katil bertingkat, boleh disediakan tetapi cukup untuk satu atau dua bilik sahaja. Selalunya penginap yang sudah berumur tidak akan menggunakan katil bertingkat.

Di zaman teknologi yang serba canggih, setiap dari kita sekurang kurang memiliki sebuah gadget dan di zaman ini tidak mustahil kanak kanak sudah memiliki gadget sendiri. Maka sebagai pengusaha homestay yang berimpian tinggi, menjadi tanggungjawab kita menyediakan soket elektrik tambahan yang mencukupi. Menjadi satu masalah jika soket yang disediakan terhad, lagi pening jika di ruang tamu hanya menyediakan satu atau dua soket sahaja. Macamnana hendak cas gadget?

Jika tidak dapat menampung voltan yang tinggi, dapatkan khidmat nasihat dari juruelektrik yang bertauliah. Selain itu pemasangan penghawa dingin dan pemanas air mandian, juga tidak harus tidak..memang wajib ada. Salah satu ciri ciri utama pemilihan homestay oleh penginap ialah penghawa dingin. Lebih bagus lagi jika setiap bilik dipasang dengan penghawa dingin, satu lagi bonus jika di ruang tamu juga dipasang dengan penghawa dingin.

Walaubagaimanapun sudah cukup jika setiap bilik dipasang dengan penghawa dingin, tentu penginap lebih selesa dan homestay kita sudah tentu selalu dikunjungi oleh penginap. Apatah lagi dengan sewaan yang kita tetapkan amat berbaloi malah menyamai dengan homestay yang hanya menyediakan satu bilik berhawa dingin. Ini satu lagi bonus untuk kita.

Pengalaman penulis yang pernah menginap di homestay yang tidak dipasang dengan penghawa dingin. Pada asalnya, penulis berhasrat ingin menginap selama dua malam , tetapi terpaksa membatalkan hasrat sebabnya panas tidak ada air cond. Rasa macam ditipu sahaja. Jadilah pengusaha homestay yang terbaik, lakukan sebaik mungkin untuk menjaga nama baik kita. Pastikan kita sendiri puas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan. Peliknya bunyi, camna kita sendiri yang hendak pastikan?

Anggap sahaja kita sebagai penginap bukan sahaja pengusaha homestay, sudah tentu kita mahu yang terbaik. Penggunaan karpet kurang praktikal kerana mudah berhabuk dan sebagai gantinya kita boleh menggunakan tikar atau tikar buluh.

Cat dalaman yang sesuai ialah warna warna pastel, tidak terlalu terang dan perit mata memandang. Penulis lebih gemar cat hijau cair dan putih, tampak bersih. Langsir yang digunakan juga harus memilih warna warna pastel, elakkan dari mendekorasikan dalaman homestay dengan warna warna terang yang menyakitkan mata. Warna yang berasaskan fenomena alam adalah lebih baik, bukan sahaja cantik tetap segar mata memandang.

Sediakan perlatan memasak  yang mencukupi seperti dapur, periuk elektrik, dapur gas, pealatan memasak, sudu, garpu, senduk, kuali dan sebagainya. Penyediaan peralatan ini tidak perlu banyak, hanya sekadar mencukupi. Penginap jarang memasak, selalunya mereka masak maggi ataupun memanaskan makanan, maka tidak perlu kita sediakan peralatan yang banyak.

Sediakan juga sedikit gula, teh ataupun kopi, jika dapat disediakan air minuman secara percuma....itu cukup bagus. Mencari sedikit kelainan, pengusaha homestay boleh menyediakan sabun mandi, sabun basuh dan ubat gigi. Sekurang kurangkan penginap berasa sedikit ringan kerana tidak perlu membawa barang yang banyak. Tuala, telekung dan sejadah boleh disediakan sebagai perkhidmatan tambahan kita. Tentu menarik kan?

Akhir sekali, sekiranya kita ingin berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi, kita wajib mempunyai perancangan bertulis yang jelas dan ikutinya saban hari dengan berusaha gigih, kita pasti dapat mengapainya. Kemudian, sekiranya kita teliti secara mendalam dan kembangkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang dimiliki, kita akan meningkatkan kebarangkalian untuk berjaya.  Kesanggupan kita mengambil risiko dalam usaha mengejar impian dan matlamat yang telah digariskan dengan jelas menjadikan kita sebahagian daripada golongan yang memiliki semangat kental, kita pasti berjaya.

Sekian,
zunianti
freelance blogger
www.homestaysalihin.com
www.juaramasak.com



 
Copyright © 2014 Blog Zunianti | Designed by FaqihahHusni